Laman Rasmi Badan Kebajikan Anak Selangor Jordan (BKASJ)

Selamat Datang ke Laman Rasmi BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR JORDAN ~BKASJ keluarga kita~ STUDY VERSION ! | Selamat kembali ke Medan Ilmu fasal Thani dengan jayanya, sama-sama kita berusaha. Bi Taufiq wa Najah `alaikum jamian ^_^. || Sebarang masalah boleh emailkan kepada pihak kami - bkasj@yahoo.com ||

Tuesday, October 16, 2012

AYUH, REBUTLAH KEISTIMEWAAN 10 HARI PERTAMA ZULHIJJAH !!!


   
       Alhamdulillah kita telah memasuki bulan Zulhijjah yang membawa 1001 keagungan dan pengorbanan. Pada sepuluh hari pertamanya terdapat banyak kemuliaan dan keutamaan. Hari-hari tersebut disediakan oleh Allah S.W.T. sebagai musim ketaatan dan kesempatan beramal soleh. Maka sebagai seorang yang bergelar Muslim wajarlah ia memperhatikan hikmah yang terkandung dalam bulan tersebut, memanfaatkan dengan melaksanakan pelbagai ibadah yang disyariatkan, menjaga perkataan dan amal yang soleh agar hatinya menjadi dekat kepada Allah S.W.T. Di mana hal tersebut dapat membantunya dalam menghadapi kehidupan ini dengan jiwa besar dan semangat yang berkobar. 10 hari pertama dalam bulan Zulhijjah merupakan hari-hari yang sangat mulia dan penuh barakah. Bukti kemuliaan ini, Allah Taala bersumpah dengannya dalam Al Quran Al Karim, 


 وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ
“Demi fajar, dan malam yang sepuluh” (Al Fajr:1-2)

        Imam At-Tobari Rah. menafsirkan “Wa layaalin ‘asr” (Dan malam yang sepuluh) sebagai malam-malam sepuluh Zulhijjah berdasarkan kesepakatan hujjah dari ahli ta’wil (ahli tafsir). (rujuk Jami’ Al Bayan fi Ta’wil Al Qur’an:7/514). Penafsiran ini dikuatkan oleh Ibnu Kathir Rah. dalam menafsirkan ayat ini, “Dan malam-malam yang sepuluh, maksudnya, sepuluh Zulhijjah sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Abbas, Ibnu Zubair, Mujahid, dan lebih dari satu ulama salaf dan khalaf”. (Ibnu Kathir:4/535).

      Kemuliaan sepuluh hari ini juga disebutkan dalam surah Al-Hajj dengan perintah agar memperbanyak menyebut nama Allah pada hari-hari tersebut. Allah Taala berfirman, maksudnya,

 “Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengenderai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh, supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak”. (Al Hajj:27-28).

Imam Ibnu Kathir dalam menafsirkan ayat ini dengan menukilkan riwayat dari Ibnu Abbas, “Al Ayyam Al Ma’lumat (hari-hari yang ditentukan) adalah hari-hari yang sepuluh” (Tafsir Ibnu Kathir:3/239). Maka dapat disimpulkan bahawa keutamaan dan kemuliaan hari-hari yang sepuluh dari Zulhijjah telah datang secara jelas dalam Al Quran Al Karim yang dinamakan dengan Ayyam Ma’lumat karena keutamaannya dan kedudukannya yang mulia.

      Manakala dari hadis, terdapat keterangan yang menunjukkan keutamaan dan kemuliaan sepuluh hari pertama dari bulan Zulhijjah ini, di antaranya sabda Nabi S.A.W yang bermaksud, 

“Tidak ada satu amal soleh yang lebih dicintai oleh Allah melebihi amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini (iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah)”. Para sahabat bertanya, “Tidak pula jihad di jalan Allah? Nabi S.A.W, “Tidak pula jihad di jalan Allah, kecuali orang yang berangkat jihad dengan jiwa dan hartanya namun tidak ada yang kembali satupun” (Sunan Abi Daud dan Ibnu Majah).


Dianjurkan ke atas orang Islam pada hari-hari tersebut untuk bersungguh-sungguh dalam ibadahnya, di antaranya solat, membaca Al Quran, zikrullah, memperbanyak doa, membantu orang-orang yang kesusahan, menyantuni orang miskin, memperbaharui janji kepada Allah Taala. Masih ada satu amalan lagi yang utama pada hari-hari tersebut, iaitu berpuasa sunnah di dalamnya. 

       Selain itu, amat digalakkan berpuasa pada satu sehingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan ibadah Haji. Hari Arafah ( 9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa. 
Nabi S.A.W. bersabda tentang kelebihan hari `Arafah : "Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hamba-Nya lebih dari hari `Arafah"      (Riwayat Muslim)
                                                                                                                          

Dalam hadis lain, Nabi S.A.W menerangkan kelebihan berpuasa pada hari Arafah apabila menjawab persoalan Abu Qatadah R.A., iaitu menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

عن ابي قتادة قال: سئل رسول الله عن صوم يوم عرفة ؟

 فقال: يكفر االسنة الماضية و الباقية

Dari Abu Qatadah. dia berkata : Rasulullah S.A.W. pernah ditanya mengenai perihal berpuasa pada hari 'Arafah. Maka Baginda menjawab, " Ia dapat menghapuskan dosa-dosa sebelum dan sesudahnya". (Riwayat Muslim)                                                                                  
     

     Manakala Syeikh Muhammad bin Soleh Al Munajjid berkata, “Di antara musim ketaatan yang agung adalah sepuluh hari pertama dari bulan Zulhijjah, yang telah Allah muliakan atas hari-hari lainnya selama setahun dan hal ini diperkuat dengan beberapa bukti di bawah ini :

1. Allah S.W.T. telah bersumpah dengannya. Dan bersumpahnya Allah S.W.T. dengan sesuatu menjadi dalil besarnya manfaat. Allah S.W.T. berfirman bermaksud, “Demi fajar, dan malam yang sepuluh” (Al Fajr:1-2). 

Ibnu Abbas, Ibnu Al Zubair, Mujahid, dan beberapa ulama salaf dan khalaf berkata bahawa ia adalah sepuluh hari pertama Zilhijjah. Ibnu Kathir membenarkan pendapat ini. (rujuk tafsir Ibni Kathir:8/413).

2. Sesungguhnya Nabi S.A.W pernah bersaksi bahawa hari-hari tersebut adalah seutama-utamanya hari-hari dunia sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis shahih.

3. Rasulullah S.A.W menganjurkan untuk memperbanyakkan amal solih di dalamnya. Sesungguhnya kemuliaannya mampu diperoleh oleh setiap penduduk negeri, sementara keutamaan tempat hanya dimiliki oleh jama’ah haji di Baitil Haram.

4. Rasulullah S.A.W juga memerintahkan untuk memperbanyakkan tasbih, tahmid, dan takbir pada sepuluh hari tersebut. Dari Ibnu Umar R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda maksudnya, “Tidak ada hari-hari yang lebih agung di sisi Allah dan amal solih di dalamnya lebih dicintai olehNya daripada hari yang sepuluh (sepuluh hari pertama dari Zulhijjah), perbanyaklah tahlil, takbir, dan tahmid di dalamnya” (Musnad Imam Ahmad 7/224, Syaikh Ahmad Syakir mensahihkan isnadnya).

5. Di dalamnya terdapat Hari ‘Arafah. Hari ‘Arafah adalah hari yang disaksikan yang di dalamnya Allah menyempurnakan ajaran deenNya sementara puasanya akan menghapuskan dosa-dosa selama dua tahun.

6. Di dalamnya terdapat ibadah ‘udhiyyah (berkorban) dan haji”.

    Dalam sepuluh hari ini juga terdapat yaumun nahar (hari penyembelihan) yang secara umum menjadi hari teragung dalam setahun. Hari tersebut adalah haji besar yang berkumpul berbagai ketaatan dan amal ibadah padanya yang tidak terkumpul pada hari-hari selainnya. 

    Berdasarkan keagungan dan fadhilat yang begitu besar bagi sepuluh hari terawal dalam bulan Zulhijjah, Unit Tarbiyah dan Akademik BKASJ merancang program Imarah Zulhijjah BKASJ bagi menyampaikan informasi amalan dan kelebihan bulan Zulhijjah dalam kalangan ahli BKASJ yang disayangi. Dalam keterbatasan masa dan menghadapi fatrah Imtihan, program santai maya bersempena Zulhijjah telah dirangka menggunakan media rasmi BKASJ, blog dan group Facebook untuk berkongsi manfaat kepada semua, agar kehadiran Zulhijjah tidak disia-siakan. Moga tema " Hayati keagungan dan pengorbanan untuk redha-Nya " mampu memotivasikan kita untuk berlumba-lumba dalam mendapat mardhatillah. Marilah kita bersama ke arah kebaikan dengan beramal dan menyampaikan kepada orang lain.
  
       Sahabat-sahabat, sesungguhnya siapa yang mendapatkan sepuluh hari bulan Zulhijjah merupakan bahagian dari nikmat Allah S.W.T. yang besar atasnya. Peluang ini terbuka kepada orang-orang soleh yang bersegera kepada kebaikan dengan menghormati dan meraikannya sebaik mungkin. Dan kewajiban seorang Muslim adalah merasakan nikmat ini, memanfaatkan kesempatan emas ini dengan memberikan perhatian yang lebih, dan menundukkan dirinya menjalankan ketaatan. Sesungguhnya di antara kurnia Allah S.W.T. atas hamba-Nya adalah menyediakan banyak jalan berbuat baik dan meragamkan kepelbagaian bentuk ketaatan agar semangat seorang Muslim sentiasa teguh dan tetap istiqamah menjalankan ibadah kepada Allah S.W.T.

Selamat Mengimarahkan 10 Hari Pertama Bulan Zulhijjah...
 


:: HAYATI KEAGUNGAN & PENGORBANAN UNTUK REDHA-NYA ::

_______________________________
    PROGRAM IMARAH ZULHIJJAH BKASJ
    UNIT TARBIYAH DAN AKADEMIK ( UTA ) BKASJ SESI 2012/2013.

0 comments: