Laman Rasmi Badan Kebajikan Anak Selangor Jordan (BKASJ)

Selamat Datang ke Laman Rasmi BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR JORDAN ~BKASJ keluarga kita~ STUDY VERSION ! | Selamat kembali ke Medan Ilmu fasal Thani dengan jayanya, sama-sama kita berusaha. Bi Taufiq wa Najah `alaikum jamian ^_^. || Sebarang masalah boleh emailkan kepada pihak kami - bkasj@yahoo.com ||

Friday, October 26, 2012

IBADAH KORBAN : MENGHAYATI SUNNAH, TADHIYAH & UKHWAH





الله اكبر الله اكبر لا إله إلا الله ؛ الله أكبر الله أكبرولله الحمد                                       

   Alhamdulillah, sahabat-sahabat yang disayangi, setelah kita meraikan Hari `Arafah semalam dengan berpuasa sunat hari ini kita akan menyambut Hari Raya Korban (Hari Raya Haji / Hari Raya Aidiladha). Salah satu ibadah amaliah yang dilaksanakan pada sekitar Hari Raya Haji ialah ibadah korban. Melaksanakan korban (yang dalam istilah fiqhnya disebut udhiyah) adalah menyembelih haiwan ternak pada Hari Raya Aidiladha dan Hari Tasyrik dengan niat mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

    Inilah peristiwa besar yang melambangkan sejarah agama tauhid, pengorbanan (tadhiyah) yang ikhlas kerana Allah S.W.T. dan usaha terus menerus untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Ia merupakan amalan tradisi para nabi sejak Adam A.S. hingga Nabi Muhammad S.A.W.

   Kita amat gembira melihat banyaknya kaum Muslim yang menyambut panggilan mulia ini, mengorbankan sebahagian harta atau haiwan ternak demi mengharapkan keredaan Allah S.W.T. Kita tanamkan niat murni dan ikhlas ini kerana Allah S.W.T. dan usah sekali-kali ia dilakukan untuk lebih dihormati oleh masyarakat. Lebih daripada itu, berkorban itu biarlah benar-benar selaras dengan tuntutan Rasulullah S.A.W.

   Dalam satu riwayat daripada Aisyah R.A.H, disebutkan bahawa Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:

" Tidaklah keturunan Adam melakukan suatu perbuatan pada hari nahr yang lebih dicintai Allah S.W.T. selain mengalirkan darah (menyembelih haiwan korban). Haiwan sembelihan itu akan datang pada hari Kiamat membawa tanduknya, kukunya, dan bulunya. Sesungguhnya darah haiwan sembelihan itu sampai kepada Allah lebih dahulu daripada sampai ke tanah. Maka sucikanlah diri kamu dengannya." (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tarmizi).

Al-Allamah Al-Manawi berkata, maksud hadis tersebut adalah bahawa ibadah yang paling utama pada hari itu adalah mengalirkan darah (menyembelih haiwan korban), dan bahawa pada hari Kiamat kelak korban itu akan datang sebagaimana adanya ia di dunia, tidak berkurang sedikit pun. Dan orang yang melakukan korban itu akan diberi pahala dari setiap anggota tubuh haiwan korbannya itu.

Baginda Rasulullah S.A.W. sendiri dalam sebuah hadis telah mengungkapkan, orang-orang yang tidak melaksanakan ibadah korban sedangkan dia berada dalam keadaan mampu, maka jangan dekat kepada kami yang melaksanakan ibadah ini. Hakikatnya kita sebagai manusia sering bergelumang dalam dosa dan memiliki jarak dengan Allah.

   Manusia berkewajipan mendekatkan diri kepada-Nya. Maka, salah satu caranya adalah dengan berkorban. Oleh yang demikian itu, maka sewajarnya kita menginsafi kembali akan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: " Barang siapa yang mempunyai keluasan rezeki, lalu tidak berkorban, maka janganlah mendekati tempat solat kami." (Riwayat Ibnu Majah)

Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah daripada Zaid bin Arqam R.A., pernah seorang sahabat bertanya kepada baginda:

‘‘Wahai Rasulullah, apakah erti korban ini?” tanya sahabat.

‘‘Itulah sunnah daripada datukmu Ibrahim,” jawab Rasulullah.

“Apakah keuntungan korban itu untuk kita?” tanya sahabat itu lagi.

‘‘Setiap helai bulu haiwan korban itu merupakan satu kebaikan (hasanah),” jawab Rasulullah.

Seandainya ada sesuatu yang lebih utama daripada penyembelihan haiwan korban yang menjadi penebusan manusia di atas segala nikmat, tentunya Allah S.W.T. tidak akan menyebutkan penyembelihan haiwan korban itu menerusi firman-Nya yang bermaksud: 

" Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar, sebagai tebusan ke atas Ismail A.S." (As-Shaffat: 107)

  Berdasarkan keterangan hadis dan firman Allah S.W.T. yang diungkapkan dalam al-Quran, bahawa amalan korban berasal daripada Nabi Ibrahim A.S. yang kemudiannya diwarisi oleh baginda S.A.W. sebagai satu ibadah dalam syariat Islam yang sangat dianjurkan untuk dilaksanakan.

  Ibadah korban ini berasal dari zaman Nabi Ibrahim A.S. Tatkala Nabi Ibrahim A.S. bersama puteranya, Ismail A.S., selesai membina Kaabah di Mekah di atas arahan Allah sebagai pusat kegiatan bagi menegakkan dasar-dasar tauhid, Allah s.w.t menguji kekukuhan iman kedua-dua nabi ini. Pengorbanan itu adalah pengorbanan yang paling tinggi dalam hidup, iaitu pengorbanan jiwa dan raga.

Menurut Imam Syafie, hukum korban adalah sunat muakkad yang amat dituntut kepada mereka yang mampu termasuk para hujjaj (jemaah haji) yang berada di Mina dan terutama umat Islam yang berada di kampung halamannya sendiri, kerana ia adalah amalan yang amat dikasihi Allah pada hari nahr (Hari Raya). Namun begitu, terdapat sebahagian ulama yang menyatakan ia adalah wajib kepada mereka yang mampu berdasarkan firman Allah yang bermaksud: 

" Maka dirikanlah solat kepada Allah (Tuhanmu) dan berkorbanlah. " (Al-Kauthar : 2).

   Dengan korban tersebut diharapkan agar ketakwaan kita kepada Allah S.W.T. semakin meningkat dan bahawa kita adalah hamba-Nya yang sentiasa memerlukan bimbingan dan petunjuk-Nya. Oleh hal yang demikian itu, kunci kepada semua amalan baik sama ada amalan sosial mahupun yang bersifat individual ialah takwa. Dalam hal ini Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:


" Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu." (Al-Hajj: 37)


Apabila melakukan korban haiwan ternak sebagai ritual keagamaan dilakukan pada hari-hari tertentu pada bulan korban / haji, maka segala bentuk pengorbanan yang dilakukan oleh umat Islam pada hari-hari yang lain juga dapat disebut pengorbanan apabila disertai oleh ketakwaan kepada Allah S.W.T. Sikap itulah yang akan membezakan daripada pengorbanan lain yang dilakukan demi kekasih, demi keluarga dan bangsa yang belum tentu diredai oleh Allah.

   Sememangnya, ibadah korban ini merupakan tali penghubung ukhwah dalam diri setiap muslim. Kesepaduan dibina dengan bekerjasama dan bergotong royong demi mencapai amalan sunnah ini. Ketika inilah kita sebagai mahasiswa mempratikkan ilmu yang kita tuntut untuk disebarluaskan kepada masyarakat mengenai tatacara pengurusan ibadah korban. Selain memberi manfaat, kita juga dapat mengeratkan silaturrahim sesama komuniti. Moga ukhwah itu terus berkekalan. Jom, sahabat-sahabat ambil masa lima minit 'refresh' trivia ibadah korban !!



TRIVIA IBADAH KORBAN


Hukum berkorban adalah sunnah muakkadah bagi kita. Ertinya kesunnahan yang sangat ditekankan namun bagi Rasulullah S.A.W. berkorban adalah wajib sebagai kekhususan baginda S.A.W.

Kesunnahan tadi terbagi kepada dua :

   1) Sunnah Kifayah, iaitu bagi tiap-tiap muslim yang sudah baligh, berakal, memiliki kemampuan untuk berkorban dan hidup dalam satu keluarga.

  2) Sunnah ‘Ain, iaitu bagi mereka yang hidup seorang diri, tidak memiliki sanak saudara. Atau dengan kata lain sunnah ‘ain adalah sasaran kesunnahannya ditujukan pada individu.

Yang dimaksud ‘memiliki kemampuan’ disini adalah orang yang memiliki harta yang cukup untuk dibuat korban dan cukup untuk memenuhi tuntutan pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyrik.

Bahkan Imam As Syafi’i berkata, “Saya tidak memberi keringanan sedikit pun pada orang yang mampu berkorban untuk meninggalkannya”. Maksud perkataan ini adalah makruh bagi orang yang mampu berqurban, tapi tidak mau melaksanakannya (lihat: Iqna’ II/278)

Meskipun hukum berkorban adalah sunnah, namun suatu ketika akan menjadi wajib, iaitu jika dinazarkan.


Waktu Pelaksanaan Korban

Waktu pelaksanaan korban adalah selepas melakukan solat sunat Aidiladha, 10 Zulhijjah sampai terbenamnya matahari pada akhir hari Tasyrik iaitu 13 Zulhijjah.


Teknik Penyembelihan Haiwan Korban

    Orang yang melakukan korban boleh melakukannya sendiri, sebagaimana hal ini dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.

    Boleh juga penyembelihannya diwakilkan kepada yang lebih ahli, sebagaimana baginda S.A.W. mengizinkan Sayyidina Ali bin Abi Thalib R.A. untuk menyembelih haiwan korban baginda.

    Dan jika penyembelihan itu diwakilkan kepada orang lain, maka dianjurkan kepada orang yang berkorban untuk menyaksikan proses penyembelihan, sebagaimana perintah baginda kepada puterinya, Sayyidah Fatimah az-Zahra` R.A.H


Pembahagian korban

    Mengenai pembahagian daging korban, asalkan bukan korban nazar, maka orang yang berkorban berhak mengambil sebahagian daging korban dan selebihnya dibahagikan (disedekahkan) kepada fakir miskin.

    Sementara Imam Syafi’i dalam qaul jadidnya berpendapat, sepertiga untuk dimakan sendiri dan dua pertiganya untuk disedekahkan. Adapun bagi pendapat salafussolih mereka menyukai membagi tiga bagian, sepertiga untuk dimakan sendiri, sepertiga disedekahkan kepada fakir miskin dan sepertiga lagi dihadiahkan kepada orang yang kaya.

    Perbuatan yang dilarang dalam hal ini adalah menjual daging korban sekalipun kulitnya atau memberikan upah berupa sebahagian daging korban kepada orang yang diserahi menyembelih.

    Tetapi jika korban itu dinazarkan, seperti dia mengatakan: “ Wajib kepadaku agar aku berkorban untuk Allah”, atau “Aku bernazar akan berkorban”, atau, “ Binatang ini aku jadikan sebagai korban”, maka dengan kalimat-kalimat itu dia telah dianggap bernazar atau dengan kata lain menjadi wajib baginya berkorban. 
Dalam hal ini, dia tidak boleh mengambil bahagian dari daging korbannya sekalipun sedikit dan tidak boleh mengambil untuk orang-orang yang berada dalam tanggungan nafkahnya, seperti anak dan isterinya.

Sunnah Penyembelihan

   1) Membaca basmalah dan selawat kepada Rasulullah S.A.W. sebelum menyembelih.
    
 2) Menghadap ke kiblat dan binatang korban juga dihadapkan ke kiblat.
    
3) Mengucapkan takbir 3 kali sebelum basmalah atau sesudahnya, seperti dikatakan Imam Al Mawardi dan juga disunnahkan untuk berdoa agar korban tersebut diterima oleh Allah, seperti dia berdoa: “ Ya Allah inilah korban dari-Mu dan untuk-Mu, maka terimalah korban ini”, maksudnya adalah “ Ya Allah binatang korban ini sebagai nikmat dariMu kepadaku dan aku mendekatkan diriku kepadaMu dengannya maka terimalah ini”.

Binatang yang dikorbankan

Binatang yang dikorbankan adalah ternak tertentu yang telah ditentukan oleh syari’, iaitu :

    Kambing : seekor kambing untuk seorang.
    Lembu : seekor lembu untuk 7 orang.
    Unta : seekor unta untuk 7 orang.

Binatang-binatang tersebut disyaratkan :

    Tidak cacat, seperti salah satu matanya buta, atau kakinya kudung, atau binatang itu terkena penyakit yang jelas sehingga nampak kurus atau dagingnya rosak kerana penyakit itu.

Wallahu`alam bisowab.

 Selamat Hari Raya Aidiladha... Kullu `am wa antum bi Khair...
 


 TULUS IKHLAS DARIPADA :

BARISAN PIMPINAN BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR JORDAN
                                                        & 
                PENGURUSAN PROGAM IMARAH ZULHIJJAH BKASJ

     :: HAYATI KEAGUNGAN & PENGORBANAN UNTUK REDHA-NYA ::


_______________________________
    PROGRAM IMARAH ZULHIJJAH BKASJ
    UNIT TARBIYAH DAN AKADEMIK ( UTA ) BKASJ SESI 2012/2013. 

0 comments: