Alhamdulillah, sahabat-sahabat
yang disayangi, setelah kita meraikan Hari `Arafah semalam dengan berpuasa
sunat hari ini kita akan menyambut Hari Raya Korban
(Hari Raya Haji / Hari Raya Aidiladha). Salah satu ibadah amaliah yang
dilaksanakan pada sekitar Hari Raya Haji ialah ibadah korban. Melaksanakan
korban (yang dalam istilah fiqhnya disebut udhiyah) adalah menyembelih haiwan
ternak pada Hari Raya Aidiladha dan Hari Tasyrik dengan niat mendekatkan diri
kepada Allah S.W.T.
Inilah peristiwa besar yang
melambangkan sejarah agama tauhid, pengorbanan (tadhiyah) yang ikhlas kerana Allah S.W.T. dan
usaha terus menerus untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Ia merupakan amalan
tradisi para nabi sejak Adam A.S. hingga Nabi Muhammad S.A.W.
Kita amat gembira melihat
banyaknya kaum Muslim yang menyambut panggilan mulia ini, mengorbankan
sebahagian harta atau haiwan ternak demi mengharapkan keredaan Allah S.W.T.
Kita tanamkan niat murni dan ikhlas ini kerana Allah S.W.T. dan usah
sekali-kali ia dilakukan untuk lebih dihormati oleh masyarakat. Lebih daripada
itu, berkorban itu biarlah benar-benar selaras dengan tuntutan Rasulullah S.A.W.
Dalam satu riwayat daripada
Aisyah R.A.H, disebutkan bahawa Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
" Tidaklah
keturunan Adam melakukan suatu perbuatan pada hari nahr yang lebih dicintai
Allah S.W.T. selain mengalirkan darah (menyembelih haiwan korban). Haiwan
sembelihan itu akan datang pada hari Kiamat membawa tanduknya, kukunya, dan
bulunya. Sesungguhnya darah haiwan sembelihan itu sampai kepada Allah lebih
dahulu daripada sampai ke tanah. Maka sucikanlah diri kamu dengannya." (Riwayat
Ibnu Majah dan At-Tarmizi).
Al-Allamah Al-Manawi berkata,
maksud hadis tersebut adalah bahawa ibadah yang paling utama pada hari itu
adalah mengalirkan darah (menyembelih haiwan korban), dan bahawa pada hari
Kiamat kelak korban itu akan datang sebagaimana adanya ia di dunia, tidak
berkurang sedikit pun. Dan orang yang melakukan korban itu akan diberi pahala
dari setiap anggota tubuh haiwan korbannya itu.
Baginda Rasulullah S.A.W. sendiri
dalam sebuah hadis telah mengungkapkan, orang-orang yang tidak melaksanakan
ibadah korban sedangkan dia berada dalam keadaan mampu, maka jangan dekat
kepada kami yang melaksanakan ibadah ini. Hakikatnya kita sebagai manusia
sering bergelumang dalam dosa dan memiliki jarak dengan Allah.
Manusia berkewajipan mendekatkan
diri kepada-Nya. Maka, salah satu caranya adalah dengan berkorban. Oleh yang
demikian itu, maka sewajarnya kita menginsafi kembali akan sabda Nabi s.a.w
yang bermaksud: " Barang siapa yang mempunyai keluasan rezeki, lalu tidak
berkorban, maka janganlah mendekati tempat solat kami." (Riwayat Ibnu Majah)
Dalam satu peristiwa yang
diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah daripada Zaid bin Arqam R.A., pernah
seorang sahabat bertanya kepada baginda:
‘‘Wahai Rasulullah, apakah erti
korban ini?” tanya sahabat.
‘‘Itulah sunnah daripada datukmu
Ibrahim,” jawab Rasulullah.
“Apakah keuntungan korban itu
untuk kita?” tanya sahabat itu lagi.
‘‘Setiap helai bulu haiwan korban
itu merupakan satu kebaikan (hasanah),” jawab Rasulullah.
Seandainya ada sesuatu yang lebih
utama daripada penyembelihan haiwan korban yang menjadi penebusan manusia di
atas segala nikmat, tentunya Allah S.W.T. tidak akan menyebutkan penyembelihan
haiwan korban itu menerusi firman-Nya yang bermaksud:
" Dan kami tebus anak itu
dengan seekor sembelihan yang besar, sebagai tebusan ke atas Ismail A.S."
(As-Shaffat: 107)
Berdasarkan keterangan hadis dan
firman Allah S.W.T. yang diungkapkan dalam al-Quran, bahawa amalan korban berasal
daripada Nabi Ibrahim A.S. yang kemudiannya diwarisi oleh baginda S.A.W.
sebagai satu ibadah dalam syariat Islam yang sangat dianjurkan untuk
dilaksanakan.
Ibadah korban ini berasal dari
zaman Nabi Ibrahim A.S. Tatkala Nabi Ibrahim A.S. bersama puteranya, Ismail
A.S., selesai membina Kaabah di Mekah di atas arahan Allah sebagai pusat
kegiatan bagi menegakkan dasar-dasar tauhid, Allah s.w.t menguji kekukuhan iman
kedua-dua nabi ini. Pengorbanan itu adalah pengorbanan yang paling tinggi dalam
hidup, iaitu pengorbanan jiwa dan raga.
Menurut Imam Syafie, hukum korban
adalah sunat muakkad yang amat dituntut kepada mereka yang mampu termasuk para
hujjaj (jemaah haji) yang berada di Mina dan terutama umat Islam yang berada di
kampung halamannya sendiri, kerana ia adalah amalan yang amat dikasihi Allah
pada hari nahr (Hari Raya). Namun begitu, terdapat sebahagian ulama yang
menyatakan ia adalah wajib kepada mereka yang mampu berdasarkan firman Allah
yang bermaksud:
" Maka dirikanlah solat kepada Allah (Tuhanmu) dan
berkorbanlah. " (Al-Kauthar : 2).
Dengan korban tersebut diharapkan
agar ketakwaan kita kepada Allah S.W.T. semakin meningkat dan bahawa kita
adalah hamba-Nya yang sentiasa memerlukan bimbingan dan petunjuk-Nya. Oleh hal
yang demikian itu, kunci kepada semua amalan baik sama ada amalan sosial
mahupun yang bersifat individual ialah takwa. Dalam hal ini Allah S.W.T. berfirman
yang bermaksud:
" Daging dan darah binatang korban
atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai
kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu."
(Al-Hajj: 37)
Apabila melakukan korban haiwan
ternak sebagai ritual keagamaan dilakukan pada hari-hari tertentu pada bulan
korban / haji, maka segala bentuk pengorbanan yang dilakukan oleh umat Islam
pada hari-hari yang lain juga dapat disebut pengorbanan apabila disertai oleh
ketakwaan kepada Allah S.W.T. Sikap itulah yang akan membezakan daripada
pengorbanan lain yang dilakukan demi kekasih, demi keluarga dan bangsa yang
belum tentu diredai oleh Allah.
Sememangnya, ibadah korban ini merupakan tali penghubung ukhwah dalam diri setiap muslim. Kesepaduan dibina dengan bekerjasama dan bergotong royong demi mencapai amalan sunnah ini. Ketika inilah kita sebagai mahasiswa mempratikkan ilmu yang kita tuntut untuk disebarluaskan kepada masyarakat mengenai tatacara pengurusan ibadah korban. Selain memberi manfaat, kita juga dapat mengeratkan silaturrahim sesama komuniti. Moga ukhwah itu terus berkekalan. Jom, sahabat-sahabat ambil masa lima minit 'refresh' trivia ibadah korban !!
TRIVIA IBADAH KORBAN
Hukum berkorban adalah sunnah
muakkadah bagi kita. Ertinya kesunnahan yang sangat ditekankan namun bagi
Rasulullah S.A.W. berkorban adalah wajib sebagai kekhususan baginda S.A.W.
Kesunnahan tadi terbagi kepada dua :
1) Sunnah Kifayah, iaitu bagi tiap-tiap muslim
yang sudah baligh, berakal, memiliki kemampuan untuk berkorban dan hidup dalam
satu keluarga.
2) Sunnah ‘Ain, iaitu bagi mereka yang hidup
seorang diri, tidak memiliki sanak saudara. Atau dengan kata lain sunnah ‘ain
adalah sasaran kesunnahannya ditujukan pada individu.
Yang dimaksud ‘memiliki
kemampuan’ disini adalah orang yang memiliki harta yang cukup untuk dibuat
korban dan cukup untuk memenuhi tuntutan pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari
Tasyrik.
Bahkan Imam As Syafi’i berkata,
“Saya tidak memberi keringanan sedikit pun pada orang yang mampu berkorban untuk
meninggalkannya”. Maksud perkataan ini adalah makruh bagi orang yang mampu
berqurban, tapi tidak mau melaksanakannya (lihat: Iqna’ II/278)
Meskipun hukum berkorban adalah
sunnah, namun suatu ketika akan menjadi wajib, iaitu jika dinazarkan.
Waktu Pelaksanaan Korban
Waktu pelaksanaan korban adalah
selepas melakukan solat sunat Aidiladha, 10 Zulhijjah sampai terbenamnya matahari
pada akhir hari Tasyrik iaitu 13 Zulhijjah.
Teknik Penyembelihan Haiwan
Korban
Orang yang melakukan korban boleh
melakukannya sendiri, sebagaimana hal ini dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.
Boleh juga penyembelihannya diwakilkan
kepada yang lebih ahli, sebagaimana baginda S.A.W. mengizinkan Sayyidina Ali bin Abi
Thalib R.A. untuk menyembelih haiwan korban baginda.
Dan jika penyembelihan itu diwakilkan
kepada orang lain, maka dianjurkan kepada orang yang berkorban untuk
menyaksikan proses penyembelihan, sebagaimana perintah baginda kepada puterinya, Sayyidah Fatimah az-Zahra` R.A.H
Pembahagian korban
Mengenai pembahagian daging korban, asalkan
bukan korban nazar, maka orang yang berkorban berhak mengambil sebahagian
daging korban dan selebihnya dibahagikan (disedekahkan) kepada fakir miskin.
Sementara Imam Syafi’i dalam qaul jadidnya
berpendapat, sepertiga untuk dimakan sendiri dan dua pertiganya untuk
disedekahkan. Adapun bagi pendapat salafussolih mereka menyukai membagi tiga bagian,
sepertiga untuk dimakan sendiri, sepertiga disedekahkan kepada fakir miskin dan
sepertiga lagi dihadiahkan kepada orang yang kaya.
Perbuatan yang dilarang dalam hal ini
adalah menjual daging korban sekalipun kulitnya atau memberikan upah berupa
sebahagian daging korban kepada orang yang diserahi menyembelih.
Tetapi jika korban itu dinazarkan, seperti
dia mengatakan: “ Wajib kepadaku agar aku berkorban untuk Allah”, atau “Aku
bernazar akan berkorban”, atau, “ Binatang ini aku jadikan sebagai korban”,
maka dengan kalimat-kalimat itu dia telah dianggap bernazar atau dengan kata
lain menjadi wajib baginya berkorban.
Dalam hal ini, dia tidak boleh mengambil
bahagian dari daging korbannya sekalipun sedikit dan tidak boleh mengambil
untuk orang-orang yang berada dalam tanggungan nafkahnya, seperti anak dan
isterinya.
Sunnah Penyembelihan
1) Membaca basmalah dan selawat kepada
Rasulullah S.A.W. sebelum menyembelih.
2) Menghadap ke kiblat dan binatang korban
juga dihadapkan ke kiblat.
3) Mengucapkan takbir 3 kali sebelum basmalah
atau sesudahnya, seperti dikatakan Imam Al Mawardi dan juga disunnahkan untuk
berdoa agar korban tersebut diterima oleh Allah, seperti dia berdoa: “ Ya Allah
inilah korban dari-Mu dan untuk-Mu, maka terimalah korban ini”, maksudnya
adalah “ Ya Allah binatang korban ini sebagai nikmat dariMu kepadaku dan aku
mendekatkan diriku kepadaMu dengannya maka terimalah ini”.
Binatang yang dikorbankan
Binatang yang dikorbankan adalah
ternak tertentu yang telah ditentukan oleh syari’, iaitu :
Kambing : seekor kambing untuk seorang.
Lembu : seekor lembu untuk 7 orang.
Unta : seekor unta untuk 7 orang.
Binatang-binatang tersebut
disyaratkan :
Tidak cacat, seperti salah satu matanya
buta, atau kakinya kudung, atau binatang itu terkena penyakit yang jelas
sehingga nampak kurus atau dagingnya rosak kerana penyakit itu.
Wallahu`alam bisowab.
Selamat Hari Raya Aidiladha... Kullu `am wa antum bi Khair...
BARISAN PIMPINAN BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR JORDAN
&
PENGURUSAN PROGAM IMARAH ZULHIJJAH BKASJ
:: HAYATI KEAGUNGAN & PENGORBANAN UNTUK REDHA-NYA ::
_______________________________
PROGRAM IMARAH ZULHIJJAH BKASJUNIT TARBIYAH DAN AKADEMIK ( UTA ) BKASJ SESI 2012/2013.














